Manusia Paling Jahat
Suatu hari Abdullah bin Abbas R.A berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda memberitahu Ibnu Abbas dan sahabat lain di sisinya. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu semua mendengar sesuatu tentang manusia paling jahat disisi Allah?"
Ibnu Abbas dan sahabat lain berkata, "Beritahu kami wahai Rasulullah, kami semua ingin mengetahuinya siapakah mereka". Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: "Mereka ialah seseorang yang meminta dengan nama Allah tetapi tiada sesiapa pun yang memberinya, sedangkan mereka mampu berbuat demikian".
Kehidupan yang terdesak sebenarnya boleh berlaku dalam semua lapisan hidup manusia, sama ada dia seorang raja ada kalanya terdesak dengan cara hidup seorang raja, rakyat terdesak dengan cara rakyat, orang kaya juga akan menghadapi keadaan terdesak pada suatu ketika mengikut keadaan orang kaya. Apatah lagi bagi si fakir yang hidupnya sentiasa susah dan kekurangan dalam serba-serbi, kesempitan hidup adalah pakaian bagi mereka.
Dalam saat yang begitu genting dan amat memerlukan, langkah pertama orang yang terdesak itu mengadu dan berdoa kepada Allah S.W.T, sesungguhnya Dia Maha Mendengar akan doa hamba-hambaNya. Jika Allah memperkenankan doa itu, ada kalanya Dia menggerakkan hati seseorang dan mempertemukannya dengan si fakir sehingga pertolongan dari mereka yang simpati segera diperolehi.
Bagaimanpun ada kalanya terjadi seorang yang benar-benar terdesak tidak pula mendapati simpati, apatah lagi kepercayaan. Lantaran itu ketika dia meminta pertolongan dari rakan dan taulan terpaksa dia menyebut dengan nama Allah, umpamanya: "Demi Allah saya amat kesempitan, tolonglah saya," dalam keadaan begitu pun orang yang ditemui tidak sudi membantunya, sedangkan orang itu mampu berbuat demikian.
Jika begitu terdesaknya orang itu sehingga bersumpah menyebut nama Allah, namun tidak juga datang rasa simpati oleh mereka yang mempunyai keupayaan, sesungguhnya itulah sejahat-jahat manusia menurut hadis Rasulullah itu. Wajarlah dikata jahat kerana dia telah membiarkan saudaranya dalam kesempitan, sedangkan dia mampu untuk menolongnya.
Pengajaran dari hadis tersebut ialah apabila seseorang yang benar-benar terdesak sehingga dia menyebut nama Allah, jika pertolongan tidak diberi sedangkan dia mampu, maka ertinya mereka tidak menghargai nama Allah yang diserukan itu. Dia menjadi sejahat-jahat manusia, kerana sikapnya yang tidak menghiraukan kesusahan orang lain walaupun dia mampu membantu.
Selain itu janganlah seseorang mempermudah menggunakan nama Allah bagi tujuan dirinya, mencari simpati dengan menjaja nama Allah. Menyedari bahawa jika nama Allah itu disebut nescaya dia akan simpati dan mendapat sesuatu yang dihajati dari orang lain.
Sikap seperti itu menunjukkan suatu penyalahgunaan terhadap nama Allah. Sering ditemui orang-orang yang menggunakan nama orang kenamaan atau tokoh-tokoh tertentu secara sewenang-wenangnya bagi mendapat sesuatu kepentingan, maka perbuatan tersebut dianggap buruk. Apatah lagi jika mereka menggunakan nama Allah, maka tidak layak nama Allah untuk diperalat oleh seseorang bagi maksud mendapati simpati semata-mata.
Dalam usaha si fakir untuk mendapat pertolongan dengan menyebut nama Allah ibarat orang dalam kecemasan di tengah lautan. Dia terpaksa menghantar isyarat kecemasan agar isyarat itu dilihat dan difahami oleh sesiapa jua semoga pertolongan segera dihantar.
Isyarat kecemasan itu tidak selalu digunakan kecuali dalam keadaan yang benar-benar terdesak. Oleh itu jika ada pihak yang sengaja mempermainkan isyarat kecemasan, mungkin akan meninggalkan kesan buruk, akhirnya isyarat kecemasan tidak lagi diberi perhatian oleh sesiapa yang melihatnya.
Sumber: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.