KELUASAN PINTU TAUBAT
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah S.W.T menghulur tangan (penerimaan kurniaan keampunan) di waktu malam supaya bertaubat oleh orang yang melakukan kejahatan di siang hari dan Allah S.W.T menghulurkan tangan (kurniaan keampunan-Nya) di waktu siang supaya bertaubatlah orang yang melakukan kejahatan di waktu malam sehingga matahari naik di sebelah barat.”
Hadis ini menunjukkan kepada kita betapa luasnya nikmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-hamba yang beriman. Di antara rahmat yang luas itu ialah rahmat menerima keampunan hamba-hamba yang bertaubat apabila melakukan kesalahan. Para ulama’ menyatakan bahawa bertaubat adalah wajib kepada orang yang melakukan dosa sama ada dosa yang besar atau dosa yang kecil.
Taubat adalah satu peluang yang sangat luas yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman dan menjadi kewajipan kepada mereka untuk mengambil kesempatan bertaubat. Oleh kerana terlalu luasnya pintu taubat itu maka tidak ada peluang dan ruang untuk seseorang yang beriman itu berputus asa dari rahmat dan keampunan Allah.
Seorang yang bertaubat itu hendaklah bertaubat dengan hati yang penuh ikhlas dan jujur kepada Allah, bukannya bermain-main dengan taubat. Para ulama’ menyatakan bahawa taubat yang ‘Nasuha’ (taubat yang sungguh-sungguh ikhlas) itu mestilah mengandungi tiga syarat. Yang pertama, hendaklah meninggalkan dosa yang dilakukan, yang kedua hendaklah menyesal di atas dosa yang dilakukan dan yang ketiga hendaklah berazam bahawa tidak akan melakukan dosa itu lagi.
Demikianlah syarat-syarat taubat, jika sekiranya dosa yang dilakukan itu bergantung dengan Allah. Jika sekiranya dosa yang dilakukan bergantung dengan hamba-Nya, maka hendaklah meminta halal dan meminta maaf kepada hamba yang kita melakukan kesalahan kepadanya, di samping kita bertaubat kepada Allah.
Kurnia yang diberi oleh Allah memneri peluang untuk bertaubat adalah satu kurnia yang sangat besar di samping member pahala yang berlipat ganda kepada orang-orang yang beriman, tidak padan dengan budi yang kita lakukan kepada Allah dan ketaatan yang kita berikan kepada-Nya.
Bukan sahaja Allah itu membuka pintu taubat kepada hamba-Nya yang berdosa, bahkan diberi keizinan kepada hamba itu bertaubat walaupun beberapa kali dia bertaubat dan beberapa kali dia melakukan dosa dengan syarat hendaklah dia memenuhi syarat-syarat taubat yang tersebut dengan hati yang ikhlas.
Disebut di dalam hadis ‘Qudsi’ bahawa Allah bergembira dengan hamba-Nya yang bertaubat lebih gembira daripada hamba-Nya yang kehilangan binatang kenderaan yang dimuat di atas binatang itu barang-barang bekalan. Tiba-tiba binatang itu terlucut daripadanya di padang pasir yang luas. Maka hamba itu bersandar di bawah pokok dalam keadaan kehilangan kenderaan dan bekalan. Tidak ada harapan lagi untuk menyelamatkan diri. Dia memejamkan mata kerana putus harapan. Setelah dia membuka matanya tiba-tiba kenderaan yang hilang itu berada di hadapannya.
Lalu dia berkata: “Ya Allah Ya Tuhanku, aku bersyukur kepada-Mu, aku tuhan-Mu dan Engkau hamba-Ku.” Dia terbalik menyebutnya kerana melatah terlalu gembira. Itulah kegembiraan Allah kepada hamba-Nya yang bertaubat walaupun taubat itu berulang-ulang kali.
Disebut juga di dalam Hadis Qudsi, Allah mengatakan bahawasanya seorang hamba telah melakukan dosa, lalu dia bertaubat dengan taubat yang sebenar, Allah mengatakan hamba-Ku mengetahui dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa lalu dia bertaubat, Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosaku.
Allah berfirman, hamba-Ku mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa lalu dia bertaubat, maka Aku terima taubatnya, tiba-tiba dia melakukan dosa lagi lalu dia bertaubat lagi dan Allah mengatakan, hamba-Ku mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosanya, Aku mengampunkan dosanya.
Demikianlah luasnya pintu taubat yang dibuka oleh Allah sehinggalah matahari terbit di sebelah barat menandakan bahawa perjalanan dunia sudah tidak betul dan bila-bila masa akan kiamat. Berlakunya tanda kiamat yang besar, maka ditutup pintu taubat sehinggalah nyawa berada di halqum menandakan seseorang itu pasti akan meninggal dunia. Melihat tanda-tanda mati yang jelas di hadapannya barulah hendak bertaubat, maka taubatnya tidak diterima oleh Allah kerana pintu taubat sudah ditutup.
Terlalu banyak di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan dari Rasulullah S.A.W bagaimana Allah mengampunkan dosa perempuan lacur di kalangan Bani Israil yang bertaubat, lalu dimasukkan ke dalam syurga. Allah mengampunkan dosa orang yang membunuh mambunuh bapa saudara Rasulullah S.A.W setelah dia masuk Islam diampunkan dosanya. Demikianlah luasnya pintu taubat yang dikurniakan oleh Allah.
Marilah kita melihat contoh dan tauladan, bagaimana peluang memasuki pintu taubat yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W yang tidak melakukan dosa yang bersifat ‘Ismah (terpelihara daripada melakukan dosa), Raslullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
“Demi Allah, sesungguhnya aku meminta ampun (beristighfar) dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari sebanyak 70 kali.”
Demikianlah peluang yang diambil oleh Rasulullah S.A.W yang tidak berdosa tetapi merasakan dirinya terlalu kecil di hadapan Allah, maka bagaimanakah kita yang tidak mencapai martabat itu, yang terlalu rendah, hina dan banyak melakukan dosa ini, mengapa kita tidak bertaubat kepada Allah?
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak mengampun dosa orang yang syirik dengan-Nya dan Allah S.W.T mengampun dosa yang lain daripada itu kepada siapa yang Dia kehendaki (di kalangan hamba-Nya).”
(Surah An-Nisa :48)
Sumber: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.