Admin Control Panel

New Post | Settings | Change Layout | Edit HTML | Sign Out

LUPAKAN HARTA YANG DISEDEKAHKAN


Saidina Umar ibnu Al-Khatab berkata: "Suatu hari aku telah menghadiahkan seekor kuda kepada seseorang, kerana orang itu tidak mempunyai sebarang binatang tunggangan sedangkan aku memiliki beberapa ekor kuda. Oleh itu secara sukarela dan kerana Allah, akupun menghadiahkannya kepada orang itu."

"Tetapi orang itu tidak pernah menunggangnya, kuda itu hanya ditambat di sisi rumahnya sehingga beberapa lama. Oleh kerana dia seperti tidak memerlukan kuda itu untuk menjadi kenderaannya, maka aku pu bercadang untuk membelinya semula. Bahkan aku sedia membayar sebanyak manapun harga yang dikehendakinya, tetapi aku menjangka dia akan menjualnya dengan harga yang murah, kerana aku yang menghadiahkan kuda itu kepadanya."

"Apabila aku memberitahu hal itu kepada Rasulullah S.A.W lalu Baginda menegah aku dari berbuat demikian dengan sabdanya yang bermaksud: "Kamu jangan beli kuda yang sudah dihadiahkan kepada seseorang, bahkan jangan kamu ambil semula dengan kamu walaupun dengan harga hanya satu dirham sahaja. Kerana orang yang mengambil semula sedekah yang sudah diberikan kepada seseorang (walaupun dengan membelinya semula) adalah umpama anjing yang menjilat semula muntahnya sendiri."

Rasulullah S.A.W memberikan bandingan yang sangat buruk terhadap mereka yang mengambil semula barang yang sudah disedekahkan, ibarat seekor anjing yang menjilat segala muntahnya.

Anjing dan muntah itu adalah sejijik-jijik banda di dunia, kerana ada sesetengah orang tidak timbul sebarang reaksi yang luar biasa apabila melihat najis manusia atau binatang. Sebaliknya secara spontan timbul reaksi jijik dan meloyakan sehingga membawa kepada muntah apabila melihat atau menghidu muntah manusia atau muntah binatang.
Mengambil semula setiap pemberian itu dalam peribahasa Melayu disebut sebagai 'buruk siku', ia memberi makna suatu tindakan yang tidak bermoral. Perbuatan itu menjatuhkan martabat atau kemuliaan yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada golongan 'tangan atas', iaitu tangan yang memberi atau membantu orang lain.
Kerana apabila dia hendak mengambilnya semula bererti ia berazam untuk menukar taraf dirinya menjadi tangan yang di bawah, iaitu tangan orang-orang yang meminta. Sedangkan Islam mengajar kita bahawa tangan yang di atas (yang menghulur bantuan derma) itu lebih mulia dari tangan yang di bawah (tangan yang menadah, yang meminta atau menerima bantuan).
Perbuatan mengambil semula sebarang pemberian sedekah itu dipandang hina oleh Islam, ia sebanding dengan anjing yang menjilat muntahnya sendiri. Jika peribahasa Melayu mengatakan buruk siku tentulah tidak sebanding dengan perbuatan anjing menjilat muntah. Apabila seseorang itu telah membina budinya yang luhur sebagai dermawan, maka janganlah ia bercita-cita untuk menjatuhkan ketinggian budi itu dengan apa cara sekalipun.
Pada pandangan biasa membeli semula barang yang sudah disedekahkan itu tidaklah menampakkan kecacatannya, kerana orang yang menerima sedekah itu tetap mempunyai peluang untuk mendapatkan hak milik dengan gantian nilai harga. Namun begitu ia tetap menjadi larangan dalam Islam, kerana ia membayangkan hasrat ingin untuk memiliki semula barang yang sudah disedekahkan.

Sumber: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Newer Post Older Post

Leave a Reply