Admin Control Panel

New Post | Settings | Change Layout | Edit HTML | Sign Out

November 2011

Manusia Yang Buta Pada Hari Qiamat

Firman Allah yang bermaksud:


"Sesiapa yang berpaling dari peringatan yakni perintah-Ku dan hukum syariat-Ku maka baginya kehidupan yang pincang, di hari kiamat nanti ia akan dibangkit dalam keadaan buta, lalu ia berkata: "Wahai Tuhanku! mengapa engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta sedangkan aku di dunia dahulu dapat melihat? lalu Allah berfirman, sesungguhnya telah datang kepadamu ayat-ayat-Ku, kamu telah melupakannya maka pada hari ini kamu dilupakan."
(Surah Toha:124-126)


Bersempena dengan ayat ini Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Adakah kamu mengetahui kehidupan yang pincang itu? Mereka menjawab: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Maka sabda Rasulullah S.A.W, "Kehidupan yang pincang itu maknanya orang kafir diseksa di dalam kuburnya."


Hadith ini merupakan penafsiran yang jelas oleh Rasulullah S.A.W walaupun ditujukan kepada orang-orang kafir tetapi menjadi amaran yang keras kepada orang-orang yang telah beriman, yang mengaku dan percaya kepada Allah S.W.T, percaya kepada Rasulullah S.A.W dan sabdanya serta kepada setiap orang yang percaya bahkan kepada seluruh manusia umunya.


Tidak ada alasan dan hajat bagi mereka untuk berpaling dari ayat-ayat Allah yang terkandung di dalamnya perintah-perintah dan hukum syariatNya kerana semua yang datang dari Allah itu adalah baik balaka dan semua memberi faedah dan manfaat kepada manusia, tidak ada satupun yang tidak memberi faedah atau memberi mudharat kepada manusia.


Betapa Allah Taala menjadikan mereka, mengurniakan rezeki, pakaian, makanan, tempat tinggal dan segala kemudahan kepada mereka. Dinyatakan batasan-batasan halal dan haram itu menjadi sempada yang menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat. Semua yang diharamkan Allah mesti mendatangkan mudharat dan semua yang diperintah oleh Allah memberi manfaat kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Pemurah lagi Maha Adil.


Mengapa manusia yang telah percaya kepada Allah S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W boleh berpaling dari perintah Allah S.W.T atau hukum syariatNya juga boleh berpaling dari amaran Rasulullah S.A.W?


Tidak patut orang yang beriman berpaling daripadanya bahkan wajib kepada orang-orang yang beriman itu menunaikan perintah Allah S.W.T, hukum syariatNya yang terkandung dalam kitab Allah S.W.T dan ajaran yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W maka bertambah lagi keyakinan kita apabila Allah S.W.T menunjukkan kepada kita kepincangan yang berlaku kepada orang-orang kafir di dunia ini.


Walaupun dalam kalangan mereka kaya raya, dalam kalangan mereka mempunyai rezeki bersifat sementara yang diberi oleh Allah secara limpah ruah yang digunakan untuk memenuhi hawa nafsu dan keinginan mereka. Semua yang dilihat nikmat itu, membawa malapetaka dan azab kepada diri mereka. Sedikit pun tidak menyenangkan mereka bahkan mereka sentiasa berada dalam keadaan keluh kesah. Keluh kesah dalam menghadapi segala urusan dunia walaupun mereka diberi kemuliaan oleh Allah S.W.T walaupun mereka mempunyai kesempatan lebih banyak daripada orang-orang yang beriman, semua mereka berada dalam keadaan kepincangan.


Kita melihat keruntuhan yang berlaku di negara komunis, negara barat kapitalis dan negara-negara umat Islam yang menjadi pak turut kepada komunis dan kita melihat semuanya berada di dalam kepincangan kehidupan di dunia ini sebelum mereka berdepan dengan Allah S.W.T. Mengikut Islam riwayatnya tidak tamat. Ada lagi riwayatnya di dalam kubur (alam barzakh) dan sesatlah ia ketika dibangkitkan di padang mahsyar selepas itu pula ada lagi riwayatnya yang sama ada ke dalam syurga ataupun neraka. Allah S.W.T telah meriwayatkan perkara ini, riwayat yang sebenar di dalam Al-Quran. Janji yang mesti berlaku kepincangan di dunia dan di akhirat kepada orang-orang yang menyeleweng dari perintah Allah S.W.T dan hukum syariat Allah S.W.T.


Kepincangan yang akan diterima di dalam kubur iaitu azab seksa dan azab pada hari kiamat di padang mahsyar sebelum dimasukkan ke dalam neraka sudah dibangkitkan dalam keadaan buta, dalam keadaan meraba-raba dan dalam keadaan tidak dapat melihat kerana mereka tidak menggunakan mata yang Allah berikan di dunia ini untuk membaca ayat-ayat Allah yang ditulis di atas kertas-kertas yang putih dengan tulisan yang boleh dibaca oleh mereka dan mereka pula boleh mencari maknanya sama ada dengan belajar secara bertanya, secara mendengar atau sebagainya.


Sudah cukup bagi mereka untuk mengingati hukum hakam, hukum syariat, perintah dan suruhan serta larangan dari Allah S.W.T. Mengapa mereka berpaling? Maka layaklah mereka yang berpaling itu dihukum oleh Allah S.W.T. Marilah kita menghisap diri kita sebelum kita meninggalkan dunia ini. Marilah kita menghisab amalan kita, tingkah laku kita adakah tepat dengan syariat Alllah S.W.T ataupun menyeleweng daripadanya.


Nanti apabila mata kita dibutakan pada hari kiamat kita berada dalam penyesalan, penyesalan yang tidak berguna lagi, tidak memberi manfaat, tekanan yang akan menambahkan seksa bukannya dapat melepaskan diri daripada azab Allah S.W.T. Firman Allah yang bermaksud:


"Sesungguhnya Al-Quran menunjukkan ke jalan yang betul."
(Surah Al-Isra':9)


Sumber: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Newer Posts Older Posts